Wednesday 19 April 2017

Mengambil lesen di bumi England.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته dan selamat sejahtera semua!

Pertama kali untuk saya menulis dalam bahasa ibunda secara penuh!

Alkisahnya adalah berkenaan proses yang saya lalui untuk mengambil lesen di sini, di bumi United Kingdom. 

Setelah dua tahun menetap di sini, saya bernekad untuk mengambil lesen di sini selepas tamat tempoh lesen Malaysia bagi memudahkan urusan sekiranya terdapat hal2 yang menyebabkan saya perlu untuk memandu (manalah tahu sekiranya ada kecemasan satu hari nanti), lebih mudah sekiranya saya sudah ada lesen di sini. Untuk pengetahuan semua, lesen Malaysia boleh digunakan untuk memandu di sini, tetapi hanya layak untuk digunakan selama setahun. Sekiranya lebih dari itu, boleh dikenakan saman, atau ada kes saya pernah dengar, kereta mereka ditarik oleh polis dan mereka terpaksa menaiki kenderaan awam. Kalau di tengah perkampungan jadi macam ni, apalah jadi agaknya??!

Lesen L

Maka bermulalah proses mencari bagaimanakah cara untuk memohon lesen. Kalau di Malaysia, untuk mendapat lesen L, perlu hadir ke kelas teori dan menduduki ujian teori. Bila dah lulus, maka dapatlah lesen L (percubaan).

Di sini pula, lesen L (provisional) boleh dipohon melalui atas talian. Isi borang dan masukkan maklumat yang patut. Cuma mereka memerlukan passport original bagi mereka yang bukan warganegara. Dalam masa tiga minggu, dapatlah lesen L. Nampak mudah bukan? Lesen L ni ada banyak pantang larang mak nenek dia. Tak boleh memandu di atas lebuhraya (motorway), perlu ada pelekat L di kereta yang dipandu, sekiranya ada penumpang, perlu ada yang sudah mempunyai lesen penuh dan banyak lagi.

Ujian Teori

Untuk mendapatkan lesen penuh pula, perlu mula dengan ujian teori. Ujian teori di sini bagi saya susah. Mungkin sebab ada peraturan jalan raya mereka yang berlainan, atau mungkin ujian mereka tersangatlah terperinci. Jarak antara kereta (dalam meter/kaki) bila hujan, panas, salji, banyak lagi. Bila ada kemalangan, orang cedera disebabkan terbakar, apa patut buat? Kalau berdarah bagaimana pula? Bila ada kecemasan atas jalan raya, apa patut buat? Bila ada kuda atas jalan pun kena tahu apa yang perlu dibuat. Tu antara soalan yang ada. Tiada soalan untuk tengok buta warna seperti di Malaysia (yang pada saya segmen yang paling mudah dalam ujian teori). Multiple choice questions adalah segmen pertama.


Untuk segmen kedua, diberikan ujian yang dipanggil hazard perception test. Ujian ini berbentuk video yang memberikan visual ketika memandu. Calon perlu mengenal pasti sebarang perkara bahaya yang kemungkinan boleh berlaku, dan markah akan diberikan pada 'potential hazard' yang akan menyebabkan seseorang perlu bertindak samada memberhentikan kenderaan atau beralih arah. Contohnya bila ada orang secara tiba2 keluar simpang, atau bila ada kereta yang park di tengah jalan. Sama seperti main permainan komputer, calon perlu tekan pada 'hazard' tersebut, sekiranya terlalu awal atau lambat, markah yang diberikan adalah sedikit (1 contohnya). Sekiranya calon menekan berkali-kali, 'hazard' tersebut akan dikira sebagai 'foul' dan calon tidak akan diberikan markah. Calon akan diberikan masa sebelum ujian untuk berlatih dengan menggunakan visual latihan.


Apa yang menariknya untuk ujian kedua ini, visual yang diberikan seolah2 dari kamera hd yang betul2 ditangkap dari kenderaan yang sebenar, sedangkan ia hanyalah rekaan grafik yang dibuat seperti dalam permainan The Sims. Setiap detail walhal sekecil-kecil perkara seperti bekas air atas jalan raya pun dibuat dengan teliti sehingga visual dilihat seakan-akan benar.

Ujian teori ni boleh diambil untuk berlatih di atas talian. Cuba lah banyak kali sehingga dapat pass. Markah pass untuk ujian teori agak tinggi iaitu 43/50 untuk bahagian pertama dan 44/75 untuk bahagian kedua.

Di tempat ambil ujian teori, proses untuk menduduki ujian sangat ringkas dan cepat, tetapi ketat. Selepas mendaftar, perlu meletakkan semua barang peribadi ke dalam loker berkunci. Kemudian akan diberikan komputer. Masa menjawab bagi ujian akan bermula bila calon mula menjawab. Untuk ujian teori, saya terpaksa ambil dua kali kerana gagal kali pertama dengan kekurangan dua markah sahaja!!! 

Ujian Praktikal

Untuk ujian praktikal pula, sekiranya anda tidak mempunyai kenderaan sendiri, anda perlu berdaftar dengan mana-mana syarikat yang latihan memandu. Di sini, tempat ujian tidak menyediakan kenderaan sepertimana di Malaysia. Calon perlu hadir ke tempat ujian dengan kenderaan sendiri atau kenderaan syarikat latihan memandu yang dipilih. Disebabkan ada ramai 'senior' di sini yang pernah mengambil lesen, saya dapatkan maklumat syarikat yang mereka gunakan, maka berkenalanlah saya dengan Anthony, tenaga pengajar saya. 

Saya mendaftar untuk mengambil dua kali latihan (3 jam setiap satu) sahaja kerana bayaran yang agak mahal iaitu sebanyak £20 sejam! Kereta syarikat yang digunapakai Anthony adalah Mini Cooper jenis manual kerana saya akan mengambil ujian kereta manual. Ini kerana sekiranya saya mengambil ujian memandu kereta automatik, saya tak boleh menyewa kereta manual kerana maklumat ini akan diletakkan di atas lesen nanti dan harga sewaan kereta automatik lebih mahal berbanding kereta manual. 

Mengambil ujian semula selepas bertahun terbiasa dengan cara pemanduan sendiri adalah agak sukar. Perlu lupakan kebiasaan dan berlatih semula untuk memandu dengan cara yang betul, lebih-lebih lagi bab pusing stereng, toleh kiri/kanan sebelum signal dan banyak lagi! 

Pada hari ujian, saya pun pandulah kereta Anthony ke tempat ujian (dalam 20 minit dari rumah). Tiba giliran saya, nama saya pun dipanggil untuk ikut pemeriksa ke kereta. Dalam perjalanan, pemeriksa suruh berhenti di tepi, lihat kereta yang diletakkan di seberang jalan (lebih 100 meter dari tempat saya berdiri) dan disuruh untuk baca nombor plat kereta. Kemudian sambil kami berjalan, pemeriksa tanya soalan2 seperti bagaimana nak tau kedudukan 'head rest' yang betul, bagaimana nak tau 'hazard light' berfungsi. Semua soalan ni Anthony sudah maklumkan pada saya untuk ulang kaji beberapa hari sebelum ujian dengan video ini.


Selepas tiba di kereta, ada seorang pakcik berdiri berdekatan dengan kereta mengucapkan selamat maju jaya pada saya. Bila pemeriksa lihat saya sudah bersedia, dia memberikan arahan untuk saya pandu (at the junction, turn right, then turn left. Drive until the end of the road and turn left). Bahagian ini dinamakan 'independant driving' di mana pemeriksa akan berikan arahan sebelum memandu. 

Selepas arahan pertama yang diberikan, pemeriksa ujian akan berikan arahan contohnya untuk belok ke kanan/kiri, keluar lorong kedua dalam bulatan dsb. Bahagian ini dipanggil 'instructed driving', di mana calon perlu peka dengan arahan pemeriksa, lebih2 lagi bila pemeriksa suruh ikut jalan sekian-sekian, maka calon perlu peka dengan papan tanda jalan. 

Sampai di jalan yang agak kecil, pemeriksa akan menyuruh untuk berhenti di tepi jalan. Kemudian buat salah satu 'maneuver' samada 'three-point turn', 'side parking' atau 'reverse into a corner'. Pemeriksa menyuruh saya untuk buat 'three-point turn'. Saya masih ingat semasa belajar dengan Anthony, dia menyuruh saya untuk buat 'side parking' tanpa memberikan apa2 tips sebelum itu. Saya dengan yakinnya buat cara sebagaimana kebiasaannya. Dia buka pintu untuk pastikan kedudukan kereta. Dengan kagum dia bertanya bagaimana saya pastikan kereta dalam kedudukan tersebut sebab parking yang saya buat adalah perfect. hahahaha...bangga sikit. tapi bila nak ulang kali kedua dah tak jadi. Maka, perlu untuk saya tau tips yang betul supaya setiap kali saya buat, kedudukan kereta akan tepat. 

Ada salah satu 'maneuver' yang tidak semua pemeriksa akan suruh buat iaitu 'emergency brake', di mana pemeriksa hanya akan ketuk 'dashboard' dengan kuat sebagai signal untuk berhenti mengejut. Kemudian calon perlu tahu apa yang perlu dibuat seterusnya, contohnya untuk neutralkan gear, tarik handbrake dsb. 

Bila hampir tiba di tempat ujian (tempat kami bermula), saya perasan pemeriksa tulis sesuatu atas kertas. Bila jeling sikit, nampak tulisan pass certificate. Masa tu dah rasa gembira yang amat. Nasib baik masih fokus untuk memandu dan berhenti dengan cara yang sepatutnya. Alhamdulillah...saya lulus! Ikut fakta dari majalah yang saya baca semasa menunggu, kadar kelulusan ujian praktikal di sini hanya 40%!! Alhamdulillah...syukuuuuuuur...

Selepas tamat, pemeriksa tanya samada nak lesen dihantar ke rumah atau ambil di pejabat, dan saya pilih untuk dihantar ke rumah. Bila pilih untuk dipos, pemeriksa akan ambil lesen L. Lesen akan dihantar dalam masa dua minggu. 

Maka, berposing lah saya depan kereta Anthony dengan pass certificate. Tapi tak jumpa pula gambar dia ambil. Malu pula untuk nak minta semula. haha...maka, gambar orang lain sajalah letak dalam ni.


Sampai situ sahaja buat kali ni. Silalah baca post saya yang lain.

No comments: